TINDAKAN aktivis dan pelakon, Rafidah Ibrahim yang didakwa cuba menghidupkan kembali isu bangunan lama Surau al-Karamah di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh, Ipoh disifatkan sebagai usaha menanam sentimen kebencian rakyat terhadap kerajaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ipoh Timor, Izzuddin Hariz menegaskan, hakikat sebenar surau tersebut tidak pernah ditutup, sebaliknya telah digantikan dengan sebuah bangunan baharu yang lebih selesa serta lengkap kemudahannya.
Malangnya, ujar beliau, ada individu luar, seperti Rafidah, hadir ke Perak hanya untuk meniup kebencian seolah-olah umat Islam di sini dizalimi.
“Hakikatnya, ia sekadar cubaan menanam sentimen, membuat rakyat benci kerajaan dan menonjolkan diri sebagai pihak ‘terpaling dizalimi’.
“Fakta tetap fakta. Ini bukan isu agama, bukan isu bangsa. Ia sekadar peralihan ke surau baharu yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah pun menyediakan surau baharu dengan segala kelengkapan demi keselesaan kariah, manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak juga telah memutuskan perobohan surau lama dibenarkan kerana wujud pengganti.
“JAIPk sendiri telah menyeru kariah agar bertenang dan menerima dengan hati terbuka pembinaan surau baharu ini,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Rafidah menerusi video pendek di media sosial mendakwa Surau al-Karamah bakal dirobohkan pemaju perumahan untuk pembinaan jalan raya.
Namun, isu yang pernah hangat kira-kira empat tahun lalu itu sebenarnya telah pun diselesaikan secara baik dengan pembinaan surau baharu berhampiran tapak lama.

Sementara itu, Pengerusi Surau al-Karamah RPT Pengkalan Pertama, Rosli Mhd Daud berkata, beliau mengharapkan agar mana-mana pihak tidak terperdaya dengan dakwaan pihak luar yang cuba menggambarkan suasana tidak harmoni berlaku di perkampungan tersebut.
Ujarnya, orang luar tidak sepatutnya cuba mensensasikan perkara yang hanya didengari sebelah pihak dan membuat kesimpulan tidak tepat.
“Penduduk setempat sememangnya meraikan dan mengimarahkan bangunan surau baharu yang jauh lebih selesa,” katanya ketika ditemui media.
Bahkan tambah Rosli, sebuah masjid baharu juga akan dibina di kawasan berhampiran dengan is turut tersenarai antara masjid yang sedang dalam perhatian kerajaan negeri.






