
LAHAD DATU – Seluruh pengundi di Pulau Sakar diseru agar terus memberikan sokongan padu kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang demi memastikan kesinambungan pembangunan.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, GRS sentiasa dekat dengan rakyat malah kejayaan Kampung Sharif dan Kampung Teluk Suaoin yang diiktiraf sebagai perkampungan rasmi adalah bukti komitmen kerajaan Sabah terhadap pembangunan luar bandar.
“Sekiranya GRS terus diberi mandat saya akan memperjuangkan pengiktirafan serupa bagi Pulau Sakar.
“Sebagai anak jati Lahad Datu, saya mahu terus berkhidmat untuk rakyat. Komitmen saya tidak pernah berubah iaitu demi kepentingan rakyat,” katanya semasa berucap merasmikan Program Penyampaian Taklimat PRN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sakar, Kampung Tanjung Paras, Pulau Sakar, pada Isnin.
Menurut Mizma, dengan kekuatan 672 pengundi di kawasan Pulau berkenaan, beliau yakin GRS mampu menang besar pada PRN akan datang.
Dalam pada Itu, Mizma turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga Allayarhamah Zara Qairina Mahathir dengan memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan memastikan siasatan kes dijalankan secara telus dan adil.




