
KENAIKAN tarif air di negeri Perlis sebanyak RM1.60, satu nilai tertinggi dalam kalangan negeri Semenanjung Malaysia mencetuskan pelbagai persoalan dan keresahan dalam kalangan pengguna, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku dalam keadaan mutu perkhidmatan masih tidak memuaskan.
Dengan kenaikan tersebut, bil minimum bulanan meningkat daripada RM7.20 kepada RM8.80. Ia mungkin kelihatan kecil di atas kertas, namun bagi golongan berpendapatan rendah dan warga luar bandar, jumlah itu tetap membebankan terutama dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat.
Lebih mengecewakan, Perlis turut mencatat kadar air tidak berhasil (non-revenue water atau NRW) paling tinggi di negara ini, iaitu sebanyak 62 peratus pada tahun 2023, meningkat daripada 61.5 peratus pada 2022. Ini bermakna lebih separuh daripada air yang dirawat dan diagihkan tidak sampai ke pengguna akibat kebocoran, kecurian atau sistem agihan yang usang.
Soalnya, mengapa rakyat perlu membayar lebih untuk perkhidmatan yang masih bocor? Di mana letaknya keadilan untuk pengguna?
Kritikan turut dilontarkan oleh Pengerusi PH Perlis, Noor Amin Ahmad, yang menyifatkan kenaikan ini sebagai tidak berpadanan dengan tahap perkhidmatan sedia ada.
“Jika Mohd Shukri beranggapan penurunan harga minyak sebanyak 6 sen tidak menarik kerana tidak mencecah 60 sen, maka beliau juga perlu menjelaskan apa yang menariknya dengan kenaikan tarif air sebanyak RM1.60 di Perlis yang merupakan kenaikan tertinggi di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan.
Teguran itu merujuk kepada kenyataan sinis Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, yang sebelum ini memperlekeh pengumuman Perdana Menteri mengenai penurunan harga RON95 sebanyak 6 sen dengan mengatakan ia hanya menarik jika mencapai 60 sen. Malangnya, hanya beberapa hari selepas kenyataan tersebut, rakyat Perlis pula dihimpit dengan kenaikan tarif air yang jauh lebih ketara.
Perkara ini menjadi lebih serius apabila mengambil kira bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan geran sebanyak RM436.5 juta untuk membantu kerajaan negeri mengurangkan NRW kepada 35 peratus menjelang 2029.
Namun, sehingga kini tidak kelihatan sebarang laporan atau kenyataan awam yang menerangkan berapa banyak peruntukan telah digunakan tahun ini, dan apakah sasaran penurunan NRW bagi tahun 2025.
“Rakyat Perlis tidak hanya perlukan kenaikan harga yang dimaklumkan, mereka perlukan penjelasan dan penyelesaian mengapa NRW terus tertinggi dan apakah hasil sebenar daripada geran ratusan juta ringgit yang telah diberikan Kerajaan Pusat,” kata Noor Amin lagi.
Rakyat Perlis berhak bertanya, apakah jaminan Mohd Shukri dan pentadbirannya dalam menyelesaikan masalah air ini dalam baki penggal yang tinggal? Adakah penambahbaikan akan berlaku? Atau adakah ini satu lagi beban yang terpaksa ditanggung tanpa sebarang hasil ketara?
Isu air ini bukan sekadar soal tarif, tetapi soal tanggungjawab dan kecekapan pentadbiran negeri. Dalam situasi sekarang, rakyat menanti jawapan yang jujur dan tindakan yang jelas, bukan sindiran politik yang akhirnya memakan diri.








