Kemelut pelantikan Ketua Hakim Negara hasil fitnah jahat pihak tertentu – PMX

PUTRAJAYA – Pelantikan Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim kanan seperti diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, membuktikan proses kehakiman kekal bebas – sekali gus menepis fitnah jahat – kononnya wujud campur tangan dalam proses itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan berkenaan dibuat melalui proses yang telus termasuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Sidang Majlis Raja-Raja kali ini dengan sendirinya membuktikan bahawa pertamanya proses berjalan baik, keduanya kita tunduk kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan Perkara 122B, ini berbeza dengan tohmahan yang berlaku sebelum ini.

“Jadi saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan baik Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong… padamlah fitnah dan keluh kesah yang berlaku sebelum ini, berminggu-minggu dikecam dan difitnah,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia, tengah malam tadi berkata, Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan nama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tidak pernah diusulkan bagi jawatan Ketua Hakim Negara.

“Ada kononnya nama-nama yang ditonjolkan, saya boleh sebutlah Terrirudin, seorang mantan Peguam Negara yang banyak menjalankan tugas dengan cemerlang dan sekarang Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Tetapi kerana beliau punya banyak tahun lagi, nama beliau tidak pernah pun diusulkan.

“Jadi dari mana (timbul tohmahan)? Hanya (dari sebaran) daripada kalangan tokoh tokoh peguam yang berpolitik. Saya tidak fikir ini gesaan daripada semua.

“Jadi saya harap dengan ini menjernihkan keadaan,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa budaya fitnah, mencerca dan mengecam tanpa merujuk kepada fakta, dihentikan.

“Ini yang pernah saya sebut dahulu dan bahawa badan kehakiman itu satu kedudukan tonggak dalam negara yang berdaulat, merdeka dan prinsip demokrasi berparlimen serta Raja Berperlembagaan.

“Jadi siapa mencerca memfitnah, merosakkan krisis badan kehakiman? Krisis apa? Saya tidak buang mana-mana hakim, saya tak hantar hakim ke tribunal, saya tidak mengganggu-gugat mana-mana keputusan, saya tak arah mana-mana Ketua Hakim Negara dan hakim mahkamah rayuan seperti mana pernah berlaku dahulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar merakamkan ucapan tahniah dengan pelantikan Wan Ahmad Farid.

“Jadi saya ucap alhamdulillah. Tahniah kepada Ketua Hakim Negara yang baharu,” katanya.

Related Posts

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

KERALAM (INDIA) – Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad dijadual berlangsung di Keralam (sebelum ini dikenali sebagai Kerala) esok, dalam rangka lawatan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

NEW DELHI – Kerjasama dalam industri semikonduktor menjadi antara tumpuan perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi, dalam usaha memperluas perkongsian ekonomi Malaysia-India.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan