Pelantikan jawatan tertinggi kehakiman: Majlis Raja-Raja dijangka umum esok – PM Anwar

PELANTIKAN jawatan tertinggi dalam badan kehakiman dijangka diumumkan oleh Majlis Raja-Raja esok, sekali gus menyelesaikan polemik yang timbul berkaitan perkara tersebut, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar perbincangan panjang mengenai isu itu telah diadakan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung pagi tadi.

“Pagi ini saya sudah berbincang panjang dengan Majlis Raja-Raja dan saya fikir biarlah mereka yang membuat keputusan dan esok, mudah-mudahan, akan ada satu pengumuman yang akan menolak semua persepsi negatif terbabit.

“Insya-Allah, apabila pengumuman dibuat nanti, ia akan membuktikan bahawa kerajaan ini, Kerajaan MADANI benar-benar komited kepada reformasi, termasuk prinsip kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus 2025 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengakui bahawa isu pelantikan tersebut telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat serta mencetuskan persepsi bahawa pelantikan ke jawatan penting dalam badan kehakiman mungkin terjejas.

“Saya boleh beri jaminan, perkara itu tidak berlaku. Saya pasti rakan-rakan saya dalam bidang perundangan menghormati hakikat bahawa kita mesti bekerja berdasarkan undang-undang dan fakta, bukan persepsi dan soal persepsi biarlah jadi urusan ahli politik. Hanya dengan cara itu kita boleh terus mentadbir dengan baik.

“Saya harap ia tidak menjejaskan pendirian Majlis Peguam, kerana itulah yang mereka percaya dan walaupun saya menafikannya dengan keras, ia masih belum memuaskan hati sebahagian daripada mereka, mungkin kerana permainan politik tertentu,” katanya.

Beliau juga menzahirkan harapan agar persepsi negatif tersebut tidak menjejaskan pendirian Majlis Peguam terhadap kerajaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Kerajaan MADANI terhadap prinsip kebebasan badan kehakiman dan menolak sebarang dakwaan campur tangan dalam urusan pelantikan kehakiman.

“Perkara itu tidak berlaku, saya tidak mahu mereka (Majlis Peguam) pula datang dan berkata, tidak, tidak, anda buat keputusan itu kerana berada di bawah tekanan.

“Azalina tahu perkara sebenar, Ketua Setiausaha Negara juga tahu fakta bahawa tiada sebarang kes atau nama yang dipersoalkan atau dianggap kontroversi pernah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencampuri urusan badan kehakiman sejak memegang jawatan sebagai ketua kerajaan.

“Selepas lebih dua setengah tahun saya memegang jawatan, saya tidak pernah membincangkan sebarang kes dengan mana-mana hakim, bukan dengan Ketua Hakim, mahupun mana-mana hakim lain. Saya berpegang teguh kepada prinsip kebebasan kehakiman,” katanya.

Related Posts

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

IPOH – Kerajaan MADANI bersedia meningkatkan kadar bantuan kepada rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekiranya kedudukan ekonomi negara terus mengukuh serta kewangan kerajaan mengizinkan.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia

KOTA KINABALU – Kementerian Kerja Raya (KKR) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak bagi penubuhan Makmal MyBIM Malaysia sebagai langkah memperluaskan penggunaan teknologi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Pujuk macam mana pun, PDM BN DUN Klawang tetap ditutup’

‘Pujuk macam mana pun, PDM BN DUN Klawang tetap ditutup’

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

Pengguna dakwa laman sosial Facebook gagal diakses

Pengguna dakwa laman sosial Facebook gagal diakses

KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia

KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia