Operasi penyamaran bongkar sikap sambil lewa penumpang, pemandu bas

KANGAR – Taktik penyamaran oleh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis membongkar sikap sambil lewa sebahagian penumpang bas yang masih enggan memakai tali pinggang keledar, meskipun kemudahan itu disediakan dalam bas moden.

Pengarah JPJ negeri, Noraini Mohd. Nawi berkata, operasi tersebut dijalankan sejak 1 Julai lalu sempena Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bagi Bas Ekspres dan Bas Persiaran.

Katanya, anggota JPJ menyamar sebagai penumpang bagi merakam bukti ketidakpatuhan melalui gambar dan video ketika dalam perjalanan menaiki bas ekspres dan persiaran.

“Hasil pemeriksaan setakat ini mendapati masih ada penumpang yang ambil mudah dan tidak memakai tali pinggang keledar walaupun sistem itu tersedia dan berfungsi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Terminal Perlis Sentral, di sini hari ini selepas menyertai pemeriksaan berkala ke atas bas-bas awam.

Menurut Noraini, daripada 130 bas yang diperiksa di seluruh negeri, hanya dua individu iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang dikenakan kompaun RM300 kerana gagal memakai tali pinggang keledar.

Tambah beliau, seramai 17 penumpang bawah umur turut diberi nasihat melalui advokasi agar mereka memahami kepentingan mematuhi aspek keselamatan asas ketika menaiki bas.

“Sebanyak 27 buah bas yang diperiksa pula adalah model selepas 1 Januari 2020 dan kesemua kenderaan ini diwajibkan mempunyai sistem tali pinggang keledar yang berfungsi serta digunakan oleh penumpang,” jelasnya.

JPJ Perlis juga akan meneruskan tindakan penyamaran dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh tanpa kompromi.

Dalam masa sama, katanya, pemakaian tali pinggang keledar akan diperluaskan secara berperingkat kepada bas henti-henti dan bas sekolah dalam usaha membudayakan keselamatan jalan raya.

Noraini turut mengingatkan semua pengusaha bas agar memainkan peranan lebih aktif memastikan sistem keselamatan dalam kenderaan masing-masing sentiasa diselenggara dan dipatuhi sepenuhnya oleh semua penumpang.

Related Posts

Pemergian Tun Hasmah: Negara kehilangan sosok inspirasi wanita

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai kehilangan besar kepada negara, khususnya wanita Malaysia. Beliau yang juga merupakan Ketua Wanita PKR berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PMX zahir takziah pemergian Tun Hasmah, sedekah Al-Fatihah sebelum ucaptama

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah susulan pemergian Allahyarhamah, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Sebelum memulakan ucapan di The International Future Conference 2026,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Inisiatif Sarawak IFE iktiraf kemahiran 105 peserta luar bilik darjah, pacu laluan kerjaya

Inisiatif Sarawak IFE iktiraf kemahiran 105 peserta luar bilik darjah, pacu laluan kerjaya

Pemergian Tun Hasmah: Negara kehilangan sosok inspirasi wanita

Pemergian Tun Hasmah: Negara kehilangan sosok inspirasi wanita

PMX zahir takziah pemergian Tun Hasmah, sedekah Al-Fatihah sebelum ucaptama

PMX zahir takziah pemergian Tun Hasmah, sedekah Al-Fatihah sebelum ucaptama

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Tun Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun

Tun Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun

Jangan cemar institusi diraja, Ismail Lasim wajar berundur – AMK

Jangan cemar institusi diraja, Ismail Lasim wajar berundur – AMK