
KUALA LUMPUR – Borneo Festival 1.0 anjuran pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sempena sambutan Gawai dan Kaamatan, berjaya mengangkat warisan budaya Borneo serta menjadi platform memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai etnik.
Program yang berlangsung di kampus UPNM baru-baru ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Miri, Tuan Chiew Choon Man yang menyatakan rasa bangga dan penghargaan terhadap usaha pelajar dari Sabah dan Sarawak dalam menjayakan acara tersebut.
“Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama dalam Borneo Fest 1.0 dan ini merupakan satu program yang hanya bukan sekadar meraikan Gawai dan Kaamatan, malah sebagai wadah untuk kita mengangkat dan memartabatkan warisan serta identiti budaya masyarakat Borneo di Lembah Klang,” katanya dalam ucapan perasmian.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan UPNM atas komitmen menyokong pelajar dari Malaysia Timur, terutamanya dalam memberi ruang kepada mereka mengekspresikan budaya masing-masing.
Katanya, usaha sebegini menyumbang ke arah pembentukan sebuah Malaysia yang lebih bersatu dan progresif. Sebagai anak jati Sarawak, beliau melahirkan rasa bangga melihat generasi muda Borneo yang bukan sahaja tekun menuntut ilmu, tetapi juga aktif memelihara jati diri dan warisan budaya mereka.
“Gawai dan Kaamatan bukan sekadar perayaan ia adalah manifestasi syukur, kekitaan, dan semangat baru yang melambangkan budaya yang hidup dan diwarisi. Kepelbagaian bukan penghalang untuk berjaya, sebaliknya adalah kekuatan sebenar negara kita,” ujarnya.

Tambah beliau, kepelbagaian etnik seperti Iban, Kenyah, Kadazan, Dusun, Melayu, Cina, India, Bidayuh dan Bajau merupakan benang-benang indah yang menjalin fabrik Malaysia yang kukuh dan berwarna-warni.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan para pelajar agar terus berbangga dengan akar budaya masing-masing dan menggunakan masa di universiti bukan hanya untuk mengejar kecemerlangan akademik, tetapi juga untuk membina karakter dan jaringan sosial yang positif.
Sebagai Ahli Parlimen dari Sarawak, beliau turut menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha pelajar dari Sabah dan Sarawak, khususnya yang menuntut ilmu jauh dari kampung halaman.
“Saya faham rindu kampung halaman itu sentiasa ada, dan program seperti ini sekurang-kurangnya memberi ruang untuk mereka ‘balik kampung’ dalam suasana yang penuh kenangan dan kebanggaan,” katanya lagi.
Beliau juga menyeru agar lebih banyak institusi pengajian tinggi memberi ruang kepada pelajar memartabatkan budaya sendiri demi menyemai benih perpaduan nasional yang lebih kukuh. Di akhir ucapan, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar, pensyarah dan pihak pengurusan UPNM atas kejayaan menganjurkan Borneo Festival 1.0 dan berharap ia akan menjadi inspirasi kepada generasi pelajar akan datang.
“Gamai tokou. Begulai kitai. Selamat menyambut Gawai dan Kaamatan,” katanya penuh semangat.
Turut hadir Kolonel Profesor Dr Khairol Amali Ahmad (B), Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Fazielah Mohammad, Pendaftar Universiti dan Para Alumni.







