
GEORGE TOWN – Kerja pemasangan menara bagi Projek Kereta Kabel Bukit Bendera dijangka bermula pada penghujung Julai ini, susulan perkembangan positif kerja-kerja pemasangan cerucuk yang sedang giat dijalankan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerja pemasangan cerucuk di tapak projek tersebut berjalan mengikut jadual, dan Kerajaan Negeri yakin keseluruhan projek akan disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Projek ini berjalan seperti yang dirancang dan kita percaya ia akan disiapkan dalam tempoh ditetapkan, terutamanya selepas syarikat konsesi projek kereta kabel, Hartasuma Sdn. Bhd., turut menyertai delegasi lawatan kerja bersama saya ke Austria dan Switzerland minggu lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri hari ini.
Menurut beliau, lawatan dari 10 hingga 16 Jun lalu memberi peluang kepada pihak syarikat meneliti secara langsung teknologi kereta kabel dan sistem funikular di dua negara Eropah tersebut, sekali gus memperkukuh pelaksanaan projek di Bukit Bendera.
“Masih ada masa untuk melakukan penambahbaikan hasil daripada lawatan tersebut.
“Kita percaya dengan kerjasama syarikat antarabangsa yang berwibawa dalam industri ini, projek ini dapat dilaksanakan dengan baik,” ujarnya.
Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang telah mengadakan lawatan rasmi ke Austria dan Switzerland bagi meneliti aspek teknikal dan pelaksanaan projek, sebagai sebahagian daripada inisiatif mobiliti lestari serta peningkatan infrastruktur pelancongan di kawasan tanah tinggi berkenaan.
Lawatan tersebut dihoskan oleh dua syarikat terkemuka dalam industri kereta kabel, iaitu Doppelmayr dan Hartasuma.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa projek berkenaan dijadual siap menjelang Disember 2026 dan akan melalui fasa percubaan serta ‘dry commissioning’ selama tiga bulan sebelum dibuka secara rasmi kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat pemaju sedang dalam proses mempertimbangkan pemilihan warna bagi kabin kereta kabel yang akan digunakan dalam projek itu.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa perkhidmatan kereta api funikular sedia ada di Bukit Bendera akan terus dikekalkan walaupun projek kereta kabel telah siap kelak. Penyelenggaraan berkala juga akan diteruskan bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin.
Sebelum ini, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mengumumkan bahawa pusat peranginan Bukit Bendera bakal menikmati perkhidmatan kereta kabel baharu yang dijangka siap dalam suku ketiga 2026.
Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bernilai RM245 juta itu merangkumi laluan sepanjang 2.73 kilometer dengan tiga buah stesen iaitu Stesen Taman, Gelung Belokan dan Stesen Bukit.
Jajaran kereta kabel tersebut akan bermula dari Stesen Taman Ekonomi di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera.
Ia bakal dilengkapi dengan 50 gondola berkapasiti lapan tempat duduk setiap satu, dengan masa perjalanan dijangka kurang daripada 10 minit.




