
PAPAR – Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba mengambil buah mangga menggunakan batang besi di Kampung Bambangan, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang berusia 42 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri selepas besi yang digunakannya tersentuh kabel elektrik berhampiran semasa mangsa sedang memanjat pokok.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.01 petang sebelum tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
“Pasukan bomba bertindak menurunkan mangsa dari atas pokok menggunakan tangga dan tali penyelamat setelah bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Operasi melibatkan lapan anggota bomba dari BBP Papar, selain kehadiran pasukan KKM, PDRM dan Sabah Electricity.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.29 petang.





