
KUCHING – Wartawan veteran Sarawak, James Alexander Ritchie meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) Sabtu pada usia 75 tahun.
Menurut keluarganya, mendiang rebah secara tiba-tiba ketika menjalani pemeriksaan selepas mengadu tidak sihat.
James memulakan kerjaya kewartawanan pada 1971 bersama Straits Times sebelum menyertai New Straits Times (NST) sebagai wartawan kadet. Beliau kemudian menjadi wakil NST pertama di Sarawak dan dikenali dengan laporan penyiasatan serta liputan isu pribumi dan alam sekitar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdullah Saidol menyifatkan mendiang sebagai tokoh media ulung yang menyumbang besar dalam merakam sejarah pembangunan Sarawak.
“Pemergian beliau satu kehilangan besar, namun legasi budaya kerja profesional dan hasil penulisannya kekal relevan dan menjadi rujukan penting,” katanya.
Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo, pula menyifatkan James sebagai wartawan, sejarawan dan pencari kebenaran yang banyak mengangkat suara rakyat Sarawak.
Pada 2024, mendiang menerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) atas jasa dan sumbangannya kepada dunia kewartawanan.
Sarawak kehilangan seorang tokoh media yang disegani, namun warisan penulisannya akan terus hidup.






