
PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe optimis terhadap kemajuan isu penyelesaian tempat letak kereta di Hospital Queen Elizabeth I (QEH I) selepas pertemuannya bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam pertemuan selama satu jam itu, beliau berkata, kekurangan tempat letak kereta di QEH I menjadi isu berpanjangan yang bukan sahaja menyukarkan pesakit dan kakitangan hospital, malah menyumbang kepada kesesakan lalu lintas yang teruk.
“Terdapat insiden membabitkan ambulans gagal memasuki kawasan hospital dengan pantas akibat kesesakan, sekali gus menjejaskan operasi menyelamat nyawa,” kongsinya.
Pada masa sama, beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang turut membangkitkan keperluan menaik taraf infrastruktur usang di fasiliti kesihatan lain di kawasan Luyang seperti Hospital Queen Elizabeth II, Klinik Luyang, dan Klinik Kesihatan Jalan Kebajikan termasuk perancangan lebih baik untuk menangani kekurangan tempat letak kereta.
Tegasnya, perlu ada perancangan yang lebih baik untuk menangani isu kekurangan tempat letak kereta di fasiliti-fasiliti ini.
“Komitmen dan pendekatan proaktif Menteri Kesihatan terhadap isu-isu ini amat dihargai.
“Saya akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian tersebut untuk memastikan kemajuan konkrit demi kesejahteraan rakyat di Kota Kinabalu dan Luyang,” katanya di sini menerusi kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti lokasi untuk membina tempat letak kereta bertingkat yang bakal menampung sekurang-kurangnya 4,500 petak kenderaan.
“Bagaimanapun, projek ini masih menunggu kelulusan dasar dan konsep daripada pusat,” katanya.






