
KANGAR – Program Jamalullail LeADS in Digital School (JLiDS) bakal menjadi pemangkin transformasi pendidikan di Perlis dengan penerapan teknologi digital yang lebih interaktif dan dinamik di sekolah-sekolah rendah negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa inisiatif ini akan membantu pelajar menguasai ilmu dengan lebih efektif dan menyediakan mereka untuk menghadapi dunia digital yang semakin mencabar.
“Penggunaan teknologi dalam pendidikan adalah satu keperluan bagi memastikan anak-anak kita bersedia menghadapi cabaran dunia digital. Smartboard ini akan menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan berkesan.
“Pendidikan bukan sekadar memperoleh ilmu, tetapi juga membentuk sahsiah murid yang seimbang dan berakhlak tinggi,” titah baginda sebelum merasmikan peluncuran JLiDS di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta pegawai-pegawai kerajaan Persekutuan dan negeri.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, program tersebut bukan sahaja meningkatkan kualiti pengajaran guru tetapi turut memberi peluang kepada murid untuk meneroka dunia digital dengan lebih mendalam.
“Program ini adalah manifestasi komitmen tinggi dalam memastikan pendidikan yang lebih inklusif dan berdaya saing.
“Anjakan paradigma kaedah pengajaran berasaskan teknologi maklumat akan membuka peluang lebih luas kepada murid.
“KPM akan terus memberikan komitmen penuh bagi memastikan kejayaan program ini, sekali gus memberi impak besar kepada pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah pelajar,” katanya.
Menurut Fadhlina, sebanyak 74 sekolah rendah dan sebuah sekolah hospital di Perlis bakal menerima smartboard atau papan pintar interaktif sebagai sebahagian daripada usaha itu.
“Dengan bantuan peralatan ini, para guru dapat menerapkan kaedah pembelajaran yang lebih menarik, sekali gus membantu murid memahami pelajaran dengan lebih efektif.
“Saya menyeru pihak sekolah yang terlibat agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang diberikan untuk meningkatkan mutu pendidikan.
Beliau berharap agar usaha itu memberi manfaat besar kepada murid dan menjadi pemangkin kejayaan mereka pada masa hadapan.



