
SEGAMAT – Sejumlah RM6.6 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan Jualan Kasih Johor tahun ini yang membabitkan 300 lokasi di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, Peningkatan peruntukan sebanyak RM1.6 juta dalam Belanjawan Johor 2025 berbanding RM5 juta pada 2024 itu bertujuan membantu rakyat meringankan kos sara hidup pada tahun ini.
“Jualan Kasih Johor yang telah dimulakan pada tahun 2023 itu dijangka memberi manfaat kepada 800,000 orang bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga istimewa ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.
“Menerusi inisiatif ini, pengguna boleh menikmati potongan harga bagi barangan keperluan seperti ayam, ikan, telur dan minyak masak selain menyokong lebih 3,000 usahawan serta petani tempatan sekali gus memperkukuh sektor agromakanan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Jualan Kasih Johor sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Tapak Pasar Malam Pekan Buloh Kasap, di sini, kelmarin.
Majlis turut dihadiri Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzudin Sanusi; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor, Faidz Afifi Mohamed dan Pengurus Kanan Sultan Ibrahim Johor Foundation (YSIJ), Shah Reza Md Kanafe.





