
JOHOR BAHRU – Dalam usaha mengurangkan kesesakan di kaunter ubat yang sering berlaku di fasiliti kesihatan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan inisiatif penghantaran ubat melalui pos (UMP).
Memetik laporan , Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, UMP bertujuan meringankan beban kewangan dan menjimatkan tempoh menunggu pesakit di kaunter farmasi.
“Selain itu, inisiatif ini juga dapat mengurangkan masalah kesesakan yang sering berlaku di beberapa fasiliti kesihatan khususnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
“Dalam Belanjawan Johor 2025, antara lain dinyatakan ialah membantu pesakit khususnya daripada golongan berpendapatan rendah untuk menikmati bekalan ubat susulan secara percuma yang akan dilakukan oleh Pos Malaysia Berhad dengan kos penghantaran dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri,” katanya dipetik Media Digital Johor.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke program Walkabout Pelancaran Projek Locker4U 2025 dan Inisiatif Perkhidmatan UMP di pasar raya Lotus, Bukit Indah di sini.

Selain itu kata beliau, inisiatif Belanjawan Johor 2024 di mana sejumlah RM170,000 diperuntukkan bagi memasang kemudahan 348 lokar ubat dari Projek Locker4U di enam lokasi di negeri ini.
Menurut Onn Hafiz, bermula 1 Disember lalu, sebanyak enam fasiliti kesihatan di daerah Johor Bahru telah memulakan perkhidmatan Locker4U termasuk Klinik Kesihatan Bukit Indah yang kini turut menempatkan lokar ubat di premis Lotus Bukit Indah serta satu lagi kemudahan sama disediakan di daerah Kulai.






