
KEPIMPINAN kerajaan hari ini memegang nilai integriti yang teguh terutama hal-hal membabitkan proses perundangan di negara ini khususnya berkaitan kes-kes berprofail tinggi meskipun terdapat segelintir pihak yang menuduh terdapat campur tangan kerajaan dengan beberapa keputusan mahkamah.
Merujuk kes membabitkan Datin Seri Rosmah Mansur pada Khamis, Pakar Sejarah Profesor Datuk Dr Ramlah Adam menegaskan, semua agensi dan badan berkanun di negara ini mempunyai peranan tertentu dalam menjalankan tugas masing-masing.
Katanya, campur tangan kerajaan tidak mungkin akan berlaku kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tegas sedang memerangi isu rasuah, penyelewengan dan integriti tadbir urus negara ketika ini.
“Bagi saya tiap-tiap bidang di negara ini ada tugas tertentu dan Anwar telah menegaskan perkara ini tetapi ada yang masih tidak mempercayai.
“Jadi itu bukan masalah Anwar atau kerajaan serta orang yang dituduh. Pihak mahkamah akan menjalankan tugasnya. Tuduhan memang tuduhan, sekiranya tidak dapat dibuktikan dengan adil, kita kena ingat keadilan adalah hak semua orang,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi adalah mengikut prosedur sewajarnya yang telah diteliti oleh hakim-hakim dan pendakwa raya.
Katanya, suara-suara pihak yang tidak bersetuju dengan pembebasan Rosmah ini adakalanya bersifat kepentingan politik semata-mata yang tidak berpuas hati dan cuba mengaitkan kerajaan dalam hal ini.
“Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi ada beberapa perkara yang tidak dapat dihuraikan dengan baik oleh pendakwa terhadap tuduhan-tuduhan itu.
“Bagi saya, itu adalah keputusan Mahkamah Tinggi dan masih ada pihak yang mempersoalkan keputusan berkenaan.
“Di dalam Malaysia ini, tuduhan-tuduhan yang tidak berasas atau tidak profesional yang dibuat oleh sesetengah pihak terutama tidak berpuas hati dan mengatakan terdapat campur tangan daripada kerajaan.
“Saya rasa itu tidak kena. Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi saya percaya telah diselidiki betul-betul pendakwa raya dan hakim-hakim,” katanya.
Tambah Ramlah, mengambil contoh seperti kes melibatkan beberapa individu politik bukan kerajaan yang dilepaskan dari pertuduhan mahkamah tetapi tiada sebarang suara tidak berpuas hati muncul.
Ujar beliau, masyarakat kini banyak dipengaruhi oleh pembangkang yang setiasa mengelirukan dengan dakyah-dakyah kotor bagi menyerang kerajaan.
“Kalau kita tak percaya sistem mahkamah di negara kita, mahu percaya kepada siapa lagi? Bila misalnya Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah dibebaskan daripada pertuduhan, penyokong Perikatan Nasional (PN) mengatakan pembebasan itu adalah wajar.
“Begitulah apabila terkena kepada pembangkang mereka akan senyap tetapi apabila berkaitan dengan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) semua perkara akan terjadi tidak betul.
“Segala ini adalah sikap yang dipengaruhi oleh politik. Diluar sana terlalu banyak sangat pendapat dan masyarakat menjadi keliru,” katanya.





