
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah sentiasa komited untuk menyokong pembangunan sukan, khususnya untuk atlet muda.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang besar bagi pembangunan belia dan sukan di negeri ini iaitu sebanyak RM101.4 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBBS).
“Peruntukan itu akan disalurkan kepada pengurusan dan pelaksanaan pelbagai program pembangunan belia dan sukan untuk tahun hadapan,” katanya semasa Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara ke-16 di Stadium Likas di sini, pada malam Khamis.
Teks ucapan perasmian beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara Ke-16 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu selama tiga hari bermula 28 sehingga 30 November 2024 adalah peluang atlet muda untuk mempamerkan bakat mereka.
Katanya, Sabah sebagai tuan rumah sangat berbesar hati dalam menjayakan kejohanan ini kerana bukan sahaja akan melihat kehebatan para atlet muda tetapi juga melihat mereka mewakili negara untuk penghormatan dan kemuliaan.
“Ini sememangnya perhimpunan olahraga antarabangsa yang akan menampilkan 46 acara balapan dan padang merangkumi 23 disiplin sukan.
“Ia adalah peluang untuk para atlet mempamerkan bakat mereka dan berjuang sehabis baik.
“Pertandingan seperti ini pastinya akan memberi pengajaran bermakna kepada para atlet seperti kerja berpasukan, ketabahan dan rasa hormat,” katanya.
Tambahnya, acara sukan utama seperti kejohanan ini juga akan membina semangat setia kawan yang kuat dan menggalakkan persahabatan antara peserta dan negara yang bersaing.
“Bagi pasukan Malaysia, ia adalah satu peluang untuk bersaing dengan pasukan terbaik dari rantau ini.
“Kami pastinya ingin melihat atlet Malaysia bergerak mewakili Malaysia di peringkat yang lebih tinggi dan di kejohanan berprestij lain,” ujarnya.





