HARI ini – Rabu, 6 November 2024 – beberapa ekor gajah dirakam ‘berziarah’ depan rumah penduduk Kampung Basong, Hulu Terengganu.
Mamalia itu didapati memakan batang, daun, dan buah pisang di halaman sebuah rumah.
Peristiwa unik itu berlaku siang, hanya beberapa meter dari muka pintu rumah penduduk yang enggan namanya disiarkan.

Ketika peristiwa itu berlaku, di media sosial pula bertebaran video tentang kosa ketimbang dan pund*k.
Laris sungguh video yang membabitkan pelisanan Ahli Parlimen Hulu Terengganu – Datuk Rosol Wahid – itu.
Juga tidak kelihatan di media sosial kesungguhan kerajaan negeri menangani isu kegemaran gajah itu berziarah di Basong dan kampung sekitarnya.
Temu bual penulis ke atas penduduk kampung itu mendapati mereka kini kebuntuan ikhtiar berdepan fenomena itu.
Yang dapat penulis simpulkan, mereka benar-benar terhimpit; tidak tahu kepada siapa lagi masalah itu perlu diadukan.
Tanggapan itu mudah kerana sebelum ini sudah terlalu banyak isu itu dilaporkan media tetapi laporan sekadar tinggal laporan.
Kerajaan negeri seperti lepas tangan; kurang berminat menyelesaikan masalah itu.
Kalaupun ada sedikit sigungan, itu sekadar jawapan yang bersifat skema!
Peristiwa itu menepati maksud peribahasa – ibarat melepaskan batuk di tangga.
Lebih malang lagi, wakil rakyat yang seharusnya membawa isu kritikal dan kebajikan rakyat ke Parlimen pula kelihatan lebih teruja kepada perkara lain.
Saya tidak mahu merincikan perkara itu kerana orang ramai boleh menghakiminya.
Jika ada yang tidak percaya, lakukan carian di media sosial.
Taiplah kosa kata ketimbang dan pund*k kemudian letaklah perkataan parlimen, insya-Allah dapat ditemukan video itu.
Jika itu gagal ditemukan, taiplah perkataan tambahan – nama Ahli Parlimen itu (tanpa perlu disertakan gelarannya).
Sehingga tulisan ini disusun, perkhabaran daripada penduduk kampung itu menunjukkan bahawa mamalia itu masih berada tidak jauh dari kawasan tersebut.
Sesekali mahu juga saya berpesan kepada mereka – berhentilah mengharap.
Itu betul kerana mengharap apa lagi setelah bertahun-tahun masalah ini berlalu dan semakin banyak habitat gajah dirosakkan?
Cuma satu pesanan saya – nanti, pandai-pandailah membuat pilihan ketika pensel berada di tangan; ketika berdiri dalam petak memangkah kertas undi.
Jangan ulangi kesilapan itu.
Sekali anda tersilap pilih, sepenggal anda menderita.
Saya percaya penduduk Kampung Basong, kampung sekitarnya, dan kampung lain dalam mukim lain yang senasib, faham akan pesanan ini.
Hanya itu pesan saya setelah banyak perkara berlaku.
Sekiranya ini masih juga tidak difahami, itu dikira pilihan sendirilah.
Maaf, itu sahaja rumusannya!








