
KEGAGALAN projek 1BestariNet telah menggemparkan negara apabila kontrak yang dimeterai bersama YTL Communications Sdn Bhd berat sebelah dan akhirnya telah merugikan kerajaan.
1BestariNet projek harapan ke atas perubahan pendidikan negara
Seringkali kita tertanya-tanya apa sebenarnya 1BestariNet? Bagaimana impaknya ke atas sistem pendidikan negara? 1BestariNet merupakan projek yang diinisiatifkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications (YTLC).
Pada dasarnya, 10,000 buah sekolah kerajaan di seluruh negara akan menikmati prasarana digital dengan akses internet berkelajuan tinggi menerusi rangkaian YES 4G. Bahkan ianya dibekal dan dilengkapi dengan platform pembelajaran maya yang bersepadu dan bertaraf dunia menerusi portal Frog VLE yang dibangunkan oleh syarikat luar negara.
Untuk mudah difahami, 1BestariNet terdiri daripada elemen dan komponen penting dalam menyediakan perkhidmatan seperti capaian jalur lebar yang lebih tinggi, perkhidmatan hosting yang terurus, jaminan keselamatan cyber, persekitaran pembelajaran secara maya (Virtual Learning Environment – VLE), penyelenggaraan dan Pewujudan Programme Management Office (PMO).
Begitulah langkah murni KPM yang mengharapkan pengajaran dan pembelajaran (PDP) dan kolaborasi yang bersepadu di dunia maya untuk mentransformasikan platform pendidikan di Malaysia di samping merapatkan jurang digital antara murid kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan infrastruktur pendidikan digital yang berkualiti. Sekali gus, projek ini merubah sistem pendidikan negara ke arah yang lebih baik dan berkualiti demi mendepani cabaran pada masa akan datang.
Kontrak perjanjian yang merugikan kerajaan
Projek 1BestariNet telah memulakan pelaksanaan fasa 1 pada 2012 menerusi syarikat konsesi yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan yang pada masa itu Menteri Pendidikan adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pelaksanaan projek itu dibuat menerusi kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (Yes 4G) bagi menyediakan perkhidmatan yang merangkumi komponen di dalam 1BestariNet. Namun projek ini telah mengalami kegagalan apabila tidak sampai kepada fungsi dan objektif daripada perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat konsesi YTLC.
Boleh bayangkan bagaimana sesuatu kontrak dipersetujui meskipun adanya proses formaliti dan dokumentasi rasmi, tetapi ianya merugikan sebelah pihak dan menguntungkan pihak yang satu lagi. Dalam memastikan keabsahan suatu kontrak, prinsip undang-undang kontrak menetapkan bahawa terma kontrak hendaklah dipersetujui sepenuhnya oleh kedua-dua belah pihak. Persetujuan yang dicapai kemudiannya akan membentuk penerimaan yang menjadi asas penting kepada pembentukan kontrak. Oleh itu, amatlah mustahak terma tersebut diteliti terlebih dahulu dan undang-undang turut menekankan kepentingan memastikan terma kontrak itu jelas dan tidak kabur sebelum penerimaan dibuat.
Dalam hubungan ini, kontrak kerajaan bersama syarikat YTLC selaku penyedia perkhidmatan banyak kelompongan hingga merugikan kerajaan. Di sini boleh kita lihat bagaimana syarikat YTLC yang menyediakan infrastruktur pencawang telekomunikasi jalur lebar di sekolah-sekolah kerajaan tidak membayar sesen pun sewa kepada kerajaan bagi menempatkan infrastruktur tersebut.
Apa yang kita ketahui, setiap entiti asing atau binaan selain bangunan dan infrastruktur yang dimiliki oleh kerajaan di atas tanah yang juga milik kerajaan, hendaklah melalui proses sewaan dimana nilainya ditentukan oleh Jabatan Penilaian. Namun disini, proses ini bersama syarikat YTLC tidak berlaku malah syarikat itu mengoperasikan perkhidmatan dengan membuat keuntungan berganda menerusi perkongsian gelombang talian untuk pengguna di kawasan yang berhampiran atau secara komersial. Malah caj elektrik bagi setiap pencawang dibebankan pula kepada pihak kerajaan hingga membabitkan caj elektrik berjumlah RM41.881 juta yang melibatkan 2,715 tapak struktur pencawang.
Muhyiddin, kleptokrat yang gagal disembunyikan
Pihak sekolah mula melaporkan masalah yang dihadapi berikutan capaian kelajuan internet dan sambungan yang tidak memberangsangkan. Banyak sekolah luar bandar tidak dapat memanfaatkan perkhidmatan dari projek 1BestariNet susulan infrastruktur dan liputan yang lemah. Lanjutan daripada itu, Ketua Audit Negara telah melaporkan kelemahan tadbir urus dalam penyediaan klausa kontrak hingga projek ini tidak mencapai objektif ditetapkan.
Perkara ini telah mendapat perhatian orang ramai yang mempersoalkan impak ke atas projek ini dengan membabitkan kos yang tinggi sehinggakan Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan ketika itu tidak melanjutkan kontrak yang tamat pada 30 Jun 2019 yang disokong dengan beberapa dapatan kajian perkhidmatan. Perkara ini juga telah disahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas baru-baru ini kepada pemberita. Natijahnya, Dr Maszlee telah didesak untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan akibat dari keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama YTLC.
Di sini boleh dilihat betapa rakusnya Muhyiddin menjaga kroni yang menjadikan kerajaan berhabis berbilion ringgit dan manfaatnya tidak sampai untuk melonjakkan prestasi sistem pendidikan negara kita. Inilah yang dinamakan perosak kepada anak bangsa sehingga berlakunya ketirisan yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.
Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion dan dokumen tuntutan yang mengandungi butiran palsu membabitkan pembayaran yang berjumlah RM2.7 bilion.
Dasar dan halatuju Kerajaan Madani
Pelaksanaan projek-projek kerajaan dan perolehan awam yang berintegriti dan bebas rasuah adalah dasar dan halatuju Kerajaan Madani. Bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus, menghargai komitmen serta tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar. Oleh yang demikian, nikmatnya boleh dirasai apabila peruntukan yang disalurkan bagi tujuan pembangunan diurus menerusi tata kelola yang baik dan sampai kepada objektif yang ditetapkan sebagaimana hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.








