
PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa agar menjalankan siasatan menyeluruh ke atas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu 1BestariNet.
Pengarah Pilihan Raya Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, isu ini amat penting untuk diberi perhatian kerana ia melibatkan wang rakyat yang menjejaskan hal ehwal pendidikan negara.
Mohd Sany berkata, sekiranya benar dakwaan yang dibuat oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ia adalah malapetaka yang besar berikutan pemimpin sewajarnya menjalankan tanggungjawab melakukan pecah amanah.
“Kita minta suatu siasatan menyeluruh dilakukan oleh pihak SPRM dan PDRM terhadap dakwaan tersebut kerana ia melibatkan isu duit rakyat, duit negara khususnya dalam bidang pendidikan yang dilaporkan sehingga RM4 bilion untuk program internet di luar bandar.
“Kalaulah benar sebagai mana yang dinyatakan ia merupakan satu malapetaka, gempa pada saya dalam negara kita ini di mana orang yang diberikan tanggungjawab menguruskan hal pendidikan dalam negara kita telah khianat, menyeleweng serta pecah amanah sebab itu kita tak mahu tuduh,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Jumaat.
Dr Maszlee Malik pada Rabu memberi reaksi berhubung siasatan yang mula dilakukan oleh SPRM berhubung projek 1BestariNet.
Menerusi aplikasi X miliknya, beliau memuat naik kenyataan ringkas iaitu ‘Akhirnya…’
Menerusi media sosial itu juga, Maszlee turut membuat hantaran mengimbau kembali tentang surat pekeliling bertarikh 27 Jun 2019 mengenai perkhidmatan talian internet di sekolah.
Dalam pekeliling tersebut, sejak 2012 1BestariNet telah membantu KPM menyediakan talian internet dan aplikasi persekitaran pembelajaran virtual (VLE) kepada 10,211 sekolah di seluruh negara.
Sementara itu, Mohd Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat menegaskan agar siasatan yang dijalankan kelak akan berlangsung dengan adil dan mencari pesalah tanpa mengira pangkat serta status yang disandang.
“Kita harapkan satu siasatan menyeluruh dan adil dapat dilakukan bagi mencari siapakah pesalah-pesalah yang wajib untuk kita hadapkan ke muka pengadilan tanpa kita mengira siapa mereka bekas Perdana Menteri ke, bekas Timbalan Perdana Menteri ke atau pernah jadi menteri.
“Salah tetap salah dan perlu didakwa serta menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan,” ujarnya.



