
PEMUDA DAP Gua Musang membuat laporan polis terhadap seorang ahli Pas yang melabel parti itu ‘kafir harbi’ ketika ceramah Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ketua Pemuda Gua Musang, Nor Amin Shafiq Ismail yang turut diiringi pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kelantan ketika memfailkan laporan berkenaan isu itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang hari ini.
Nor Amin menggesa pihak polis menyiasatnya di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan atas dasar agama.
Tambahnya lagi, tindakan tegas bagi memastikan politik yang toksik seperti itu tidak diteruskan lagi.
Nor Amin berkata, kenyataan ahli Pas itu boleh merosakkan perpaduan negara dan menggugat keharmonian negara yang telah dibina atas asas toleransi dan saling menghormati.
Ujarnya, kenyataan seperti dalam video itu adalah tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
“Mereka menggunakan agama sebagai alat politik, sesuatu yang dilarang dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita.
Kenyataan ini juga berpotensi menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbeza agama,” beliau berkata kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Gua Musang, hari ini.
Hari ini, PN mengeluarkan kenyataan bahawa ahli Pas yang menggunakan kata-kata kafir harbi telah digantung tugas.
Pengarah Pilihan Raya PN di Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, penggantungan itu dibuat untuk menenangkan keadaan berikutan kontroversi itu.
Beliau berkata tidak perlu memohon maaf, dan tidak perlu Pas memohon maaf kepada DAP kerana perkara itu subjektif dalam politik dan luahan ahli Pas itu dibuat atas kapasiti peribadi, dan tidak mewakili pandangan parti.







