
SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menahan dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dalam operasi penguatkuasaan di perairan Sandakan, pada Rabu malam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, vesel pertama ditahan kira-kira pukul 12.39 tengah malam selepas dikesan menunda pukat pada kedudukan lebih kurang 1.79 batu nautika dari daratan berhampiran.
Menurutnya, bot berkenaan dikendalikan oleh empat nelayan warga Indonesia berusia antara 25 hingga 52 tahun.
“Tangkapan kedua pula dilakukan sekitar pukul 12.46 tengah malam apabila sebuah lagi VNT ditahan di lokasi berhampiran atas kesalahan sama,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Beliau berkata, vesel kedua itu dikendalikan tiga nelayan terdiri daripada seorang warga tempatan, seorang warga Indonesia dan seorang warga Filipina yang berusia antara 24 hingga 36 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua vesel terbabit melanggar syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985,” jelasnya.
Katanya, kedua-dua vesel bersama tujuh kru serta kira-kira tiga tan hasil tangkapan laut yang dianggarkan bernilai RM312,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Tambah Muhamad Suhairy, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan untuk tindakan segera.







