
KUCHING – Cadangan penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bakal menyaksikan peningkatan daripada 82 kepada 99 kerusi, dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Julai depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbincangan berhubung perkara tersebut kini giat dijalankan di peringkat Kerajaan Persekutuan sebelum ia dibawa untuk pertimbangan Dewan Rakyat.
“Sekarang ini kita hanya berbincang di peringkat Persekutuan dan kita sasarkan supaya cadangan penambahan kerusi DUN Sarawak itu dapat dibentangkan pada sesi Parlimen Julai nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Jamaie NEXGEN P194 Petra Jaya 2026 di Masjid Al-Ghazali pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, sebarang perkembangan baharu mengenai perkara tersebut hanya akan dimaklumkan selepas ia dibentangkan dan mendapat kelulusan Parlimen.
Sebelum ini, DUN Sarawak pada 7 Julai lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 bagi membolehkan pertambahan 17 kerusi baharu tersebut.
Terdahulu pada majlis sama, Fadillah turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar tahfiz dari Madrasah Darul Uloom Islamiyyah Rampangi, Madrasah Darul Uloom Al-Fatah, Madrasah Tahfiz Al-Qurah Bidayatul Muthadin dan penghuni Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak



