
SIBU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak hari ini mengadakan tinjauan di Pasaraya Farley di sini bagi memantau pematuhan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 oleh peniaga di negeri ini.
Pengarahnya, Matthew Dominic Barin berkata skim itu akan berkuat kuasa selama sembilan hari, meliputi empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan.
“Sebanyak 16 jenis barangan telah diwartakan sebagai barangan harga terkawal di bawah pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 di Sarawak bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan sepanjang musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi tinjauan itu.
Barangan berkenaan ialah ikan bawal putih (200 gram hingga 400 gram seekor), udang putih (41 hingga 60 ekor sekilogram), bawang putih (China), bawang kuning besar, bawang merah besar, sawi pendek/sawi Jepun, cili merah, kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), lobak merah (China), lobak putih, ubi kentang (China), halia tua (import), kepak ayam, babi hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) serta daging babi (daging dan lemak).
Menurutnya, skim itu dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melibatkan peringkat pemborong dan peruncit dan harga maksimum yang diwartakan boleh disemak melalui laman sesawang rasmi kementerian.
“KPDN Sarawak telah menggerakkan seramai 207 Pegawai Penguat Kuasa dan 101 Pegawai Pemantau Harga di seluruh negeri bagi memantau keberadaan bekalan serta memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan dilaksanakan di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan bagi mengesan ketidakpatuhan serta menyiasat aduan pengguna.
“Kita akan mempertingkatkan kehadiran pegawai penguat kuasa di lokasi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang selamat, beretika dan berintegriti,” katanya.
Mengulas tindakan penguatkuasaan, beliau berkata bermula 1 Jan hingga 10 Feb lepas, sebanyak 15,708 premis diperiksa di seluruh Sarawak dengan 308 kes direkodkan membabitkan nilai rampasan RM887,867.24 serta kompaun berjumlah RM67,700.
“Sepanjang tempoh sama bagi pelaksanaan Ops Kesan 5.0, sebanyak 79 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) melibatkan 352 SKU barangan dan tujuh Notis Bertulis (NB) melibatkan 11 SKU barangan telah dikeluarkan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.
“Mana-mana peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum atau gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.






