
PUTRAJAYA – Seramai 142,510 individu telah diberikan pelepasan daripada senarai bankrap menerusi Dasar Peluang Kedua, sekali gus memberi nafas baru untuk memulakan kehidupan dengan lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelepasan dibuat Jabatan Insolvensi itu berjaya melepasi sasaran awal inisiatif iaitu menyasarkan pelepasan kepada 130,000 orang yang diisytiharkan muflis.
“Sejarah sejak Merdeka, belum pernah mana-mana kerajaan yang mampu menyelesaikan 142,510 kes bankrap, tetapi saudara (Jabatan Insolvensi) telah membantu menyelesaikan.
“Sebab itu saya ulangi kenyataan ini, sementara mereka boleh bernafas, kita ada suntikan Tunai Rahmah kepada sembilan juta rakyat dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion setahun.
“Hanya pemberian tunai kepada rakyat (di mana) keutamaan berikan kepada golongan B40 dan M40 untuk sembilan juta rakyat, ini memberikan nafas sementara mereka jalankan perniagaan atau kegiatan baharu,” katanya pada Majlis Perasmian 100 Tahun Jabatan Insolvensi Malaysia di sini pada Khamis.
Untuk rekod, Dasar Peluang Kedua merupakan inisiatif Kerajaan Perpaduan dalam membela nasib rakyat dengan jumlah hutang berskala kecil untuk dilepaskan daripada kebankrapan melalui syarat-syarat tertentu.
Dasar yang dibentangkan pada Belanjawan 2024 itu telah diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun ini.