
IPOH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak telah menghantar pulang seramai 107 pendatang tanpa izin (PATI) ke negara asal mereka, pada Rabu lalu.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, kesemua PATI merupakan tahanan dari Depot Imigresen Langkap, Teluk Intan.
Ujarnya, mereka terdiri daripada warga negara Indonesia, India, Pakistan, Vietnam dan Bangladesh iaitu seramai 77 orang lelaki, 27 orang wanita dan 3 orang kanak-kanak.
“Kesemua mereka dalam lingkungan umur setahun sehingga 57 tahun.
“Pemindahan PATI ini ke negara asal dilakukan melalui pintu masuk udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Sepang, Selangor,”katanya.
Jelas beliau, ia selepas mereka selesai membayar kompaun atau menjalani hukuman denda atau penjara yang telah diputuskan oleh pihak Berkuasa Kehakiman (Mahkamah PATI).
Tambahnya, kesemua mereka berjaya dibuktikan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Justeru itu, Meor Hezbullah berkata, kesemua PATI yang dipindahkan ke negara asal juga telah disenarai hitam bagi mencegah mereka dari memasuki semula ke negara ini.
“Pemindahan warga asing ke negara asal ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membanteras PATI yang dijalankan oleh JIM Negeri Perak bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap,”ujarnya.0




