
KOTA KINABALU – Seramai 1,015 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang ke-74 esok.
Mendahului senarai penerima ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Dasar Kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Fuad Md Ali yang dianugerahkan darjah kebesaran tertinggi negeri, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Tiga lagi individu yang turut menerima anugerah SPDK ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dan Pengerusi Kumpulan Usahawan Borneo, Datuk Lim Yu Ming.
Darjah kebesaran kedua tertinggi, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk pula dikurniakan kepada 78 individu.
Antara penerimanya ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr Fuziah Salleh; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang; ADUN Pantai Manis, Mohd Tamin Zainal; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Lahirul Latigu; serta Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.
Turut menerima PGDK ialah Ketua Cawangan Khas Kontinjen Sabah, Polis Diraja Malaysia, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abd Rahman Ishak; Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Sabah, SAC Abdul Fuad Abdul Malek; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman; dan Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim.
Secara keseluruhan seramai 100 individu menerima gelaran Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) manakala 181 individu menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK).
Bintang Setia Kinabalu (BSK) dikurniakan kepada 248 penerima, diikuti Bintang Kinabalu (BK) kepada 285 penerima dan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) kepada 109 penerima.
Wartawan veteran, Emin Madi antara penerima anugerah PGDK yang membawa gelaran Datuk.
Selain beliau, turut tersenarai pengamal media negeri Sabah turut menerima darjah kebesaran iaitu Yong Ted Phen (ASDK); Fadzli Ramli (ADK); Nancy Lai (ADK) Jason Edgar Santos (ADK); Marutin Ansiung (ADK); Julia Chan (ADK); Stephanie Lee (BSK); Azman Jumat (BSK); Dr Diana Dominic (BSK); Larry Laron (BSK); Normimie Diun (BSK); Jenne Lajiun (BSK); Zamain Singkui (BSK); Sherell Ann (BSK); Salmariwaya Sali (BSK) dan Abdul Hafiz Mustadi (BSK).
Seramai 10 individu tersenarai dilantik sebagai Jaksa Pendamai (JP).







