JOHOR BAHRU – Selepas lebih setahun ditutup, pengumuman mengenai pembukaan semula Zoo Johor tidak lama lagi pastinya menjadi khabar gembira buat warga negeri termasuklah pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor ketika dihubungi Bernama mengesahkan tarikh zoo tertua di Malaysia ini beroperasi semula bakal diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Jumaat ini, 16 Ogos.
“Kerja-kerja naik taraf kemudahan dan infrastruktur zoo ini antaranya melibatkan sistem pengaliran, penempatan haiwan, sistem baharu tiket dan tempat letak kereta.
“Projek naik taraf Zoo Johor telah selesai
sepenuhnya dan tinggal beberapa kerja- kerja penyelenggaraan seperti pembersihan kawasan, pengurusan tenaga kerja, sistem e-tiket, landskap dan juga papan tanda,” katanya.

Pada Februari 2023, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang ketika itu merupakan Sultan Johor bertitah zoo negeri ini perlu menjadi antara lokasi pelancongan baharu di negeri itu sekali gus menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.
Zoo Johor mula dibuka pada 1928 oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim Almarhum Sultan Sir Abu Bakar dan dinamakan sebagai Kebun Binatang pada ketika itu.
Zoo seluas 12.5 hektar di Jalan Gertak Merah di sini bakal mempamerkan kira-kira 320 haiwan, yang meliputi 73 spesies membabitkan 18 mamalia, reptilia (13), primate (lapan) dan unggas (34).

Sebelum ini, kerja-kerja menaik taraf Zoo Johor melibatkan kos kira-kira hampir RM10 juta melalui peruntukan kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.
Kerajaan negeri turut memberikan jaminan harga tiket masuk zoo ini kekal termurah diantara semua zoo di Malaysia meskipun selepas diberikan nafas baharu.




