
KOTA MARUDU – Calon PH di DUN Bandau Zaidi Jatil tekad untuk membangunkan Bandau ke arah yang lebih baik.
Zaidi berkata, beliau mahu mengubah kehidupan masyarakat di seluruh kawasan Bandau yang disifatkan masih hidup dalam serba kekurangan.
“Saya mahu ubah kehidupan orang-orang kampung di seluruh kawasan Bandau ini yang mana Bandau ini terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat, pelbagai suku kaum tetapi kita hidup dalam keadaan serba kekurangan.
“Sepanjang perjalanan naik ke sini luar biasa juga jalannya tetapi ada baik sedikit berbanding beberapa kampung saya lalui,” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pangapuyan, di sini pada Isnin.

Menurutnya, perjalanan masuk ke beberapa kampung menunjukkan keadaan jalan raya yang daif dan tidak selayaknya berlaku dalam tahun 2025.
“Bagi saya saya tahun 2025 ini tidak masuk akal jalan raya masih lagi ada seperti ini.
“Rakan-rakan kita daripada Semenanjung datang ke Kota Marudu pun amat sedih melihat keadaan begini, keadaan kemiskinan, keadaan masalah kemudahan asas jalan rayanya teruk.
“Ada kampung tidak ada air, tidak ada elektrik yang tidak ada sistem perparitan yang betul banyak masalah dan talian internet pun ada lagi kampung yang tidak ada,” ujarnya.
Namun begitu, katanya, beliau hairan apabila masih ada segelintir pengundi yang memilih untuk mengekalkan pemimpin lama meskipun berdepan pelbagai masalah sama setiap penggal.
“Ini masalahnya, kadang kita marah post di Facebook, di TikTok di status WhatsApp marah dengan YB.
“Jalan raya begini marah, mati air marah, tapi sampai pilihan raya YB itu datang merayu bagi sikit-sikit kita lupa penderitaan lima tahun,” ujarnya.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak termakan dengan politik sedemikian.






