
KOTA MARUDU – Calon PH DUN Bandau, Zaidi Jatil hari ini mengumumkan manifesto yang memfokuskan kepada penyelesaian isu rakyat.
Menurut Zaidi, manifesto tersebut dirangka berdasarkan keperluan rakyat yang dikenal pasti melalui sesi libat urus bersama komuniti setempat.
“Kita melihat ini keperluan penting selain daripada itu kita memastikan perkara asas yang lain seperti isu-isu kebersihan di kawasan pekan Kota Marudu masalah air dan sebagainya ini kita dapat atasi apabila kita mentadbir di Bandau.
“Kenapa kita tawarkan ini sebab ini adalah masalah utama yang kita lihat di kawasan Bandau ini yang mana sering menjadi perbualan rakyat di kawasan ini,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman manifesto di Marudu Inn Hotel, di sini pada Rabu.

Sebanyak sembilan manifesto diumumkan, merangkumi agenda pentadbiran telus dan perkhidmatan cekap, peningkatan infrastruktur serta kemudahan asas, pendidikan dan pembangunan belia, pemerkasaan ekonomi serta peluang baharu, serta penekan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Antara manifesto lain yang ditawarkan ialah Bandau bersih, rakyat ceria, libat urus pelbagai pihak, meningkatkan akses internet dan pendigitalan serta perpaduan, keamanan dan politik nilai.
Beliau menegaskan, sembilan tunjang utama yang diketengahkan itu merangkumi pembaharuan pentadbiran, pembangunan fizikal dan ekonomi, selain penekanan terhadap kebajikan serta perpaduan masyarakat.
Tambahnya, isu kebersihan di pekan Kota Marudu, masalah air dan beberapa aduan berulang yang sering dibangkitkan penduduk adalah antara keutamaan untuk diselesaikan sekiranya PH diberi mandat mentadbir Bandau.





