
KOTA MARUDU – Calon PH DUN Bandau, Zaidi Jatil berhasrat untuk membawa masuk lebih banyak pelaburan ke Bandau.
Jelasnya, ia bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya untuk anak muda di kawasan sekitar.
“Tawaran kepada anak muda seperti yang kita sebut sebelum ini, seperti peluang pekerjaan yang mana kita mahu bawa pelaburan masuk lebih banyak ke Bandau.
“Dan itu tadi disebut oleh Perdana Menteri, kita mencari ruang dan peluang untuk bawa masuk pembangunan lebih banyak di Bandau.
“Ini membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak untuk golongan belia,” katanya dalam sidang media selepas program Temu Rapat PMX Sayang Sabah, di pekarangan 10 Stars Cinema, di sini pada Khamis.

Selain itu, Zaidi juga mahu selesaikan isu rumah dalam kalangan belia di kawasan ini.
“Golongan belia di Bandau ini khususnya yang baru berkahwin, tidak mempunyai rumah,” katanya.
Justeru itu, beliau mahu mewujudkan Program Perumahan Rakyat (PPR) fasa dua di Bandau.





