DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan pihak tertentu yang mempertikai pendirian kerajaan dalam mempertahankan Islam di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta parti komponen Kerajaan Perpaduan mendukung dan berpegang kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, jangan ada pihak yang menuding jari atau mempertikai pendirian kerajaan dalam hal ini.
“Kita tahu soal agama ini adalah sensitif dan kita tidak mahu ada tangan atau jari yang menuduh kerajaan tidak mengambil peduli mengenai perkara ini, terutamanya apabila dalam isu mempertahankan Islam,” katanya kepada media selepas majlis Sentuhan Kasih Ramadan di Masjid Tanah, Melaka, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO membidas sikap sesetengah pemimpin politik menggunakan isu agama untuk merungkai keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Apa pun agama diamalkan rakyat negara ini haruslah dihormati seperti disebut dalam al-Quran bahawa setiap daripada manusia perlu menghormati agama lain.
“Kita tidak mahu, sama ada seorang individu atau kumpulan berfahaman kanan atau kiri menggunakan isu agama merungkaikan keharmonian yang sedia wujud di negara kita,” katanya.






