
YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms), anak syarikat YTL Corporation Berhad, hari ini mengumumkan bahawa ia telah dibersihkan daripada sebarang salah laku susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Projek 1Bestarinet.
Menerusi satu kenyataan kepada Bursa Malaysia petang ini, syarikat itu merujuk kepada pengumuman terdahulunya pada 4 September dan 30 Oktober berhubung siasatan itu.
“Kami ingin mengumumkan bahawa kami telah menerima pengesahan daripada SPRM bahawa ia telah menamatkan siasatannya dan menentukan bahawa tiada pertuduhan akan diteruskan terhadap YTL Communications,” kata syarikat itu dalam kenyataan itu.
Pada 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan bahawa ia telah menghentikan projek itu, namun timbul persoalan mengenai penyampaian dan perbelanjaan projek masih berterusan, membawa kepada siasatan SPRM.
Pada 4 September lalu, dilaporkan bahawa SPRM menyerbu pejabat YTL Communications di Kuala Lumpur serta sebuah pejabat kerajaan sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap projek 1BestariNet.
Sumber SPRM dipetik sebagai berkata, siasatan tertumpu kepada dakwaan membabitkan butiran palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion, serta unsur jenayah lain di bawah Akta SPRM 2009.





