
PUTRAJAYA – Kerajaan perlu mewujudkan akta khusus bagi mengawal selia aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) yang kerap menerima sumbangan orang awam agar aspek ketelusan dan kredibiliti dalam pengurusan dana terpelihara sepenuhnya.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pelaksanaannya dilihat mekanisme penting untuk mengawal selia aktiviti sumbangan, memastikan dana diterima digunakan dengan cara yang betul dan beretika, selain mampu mengurangkan risiko penyelewengan serta penyalahgunaan.
Menurut beliau, sekiranya berjaya direalisasikan, ia dilihat mampu menjadi garis panduan yang jelas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menguruskan dana, membantu pihak berkuasa mengenal pasti aktivitis yang terlibat dalam aktiviti manipulasi di samping meningkatkan keyakinan terhadap masyarakat untuk memberi sumbangan.
“MCW percaya bahawa dengan adanya kawalan yang lebih ketat dan perundangan yang jelas, kita dapat membentuk satu ekosistem lebih telus serta berwibawa dalam sektor NGO dan aktiviti kemanusiaan di Malaysia.
“Menyalahgunakan platform NGO dan aktiviti derma untuk tujuan peribadi bukan sahaja mencemarkan nama baik organisasi tersebut, tetapi juga merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap usaha kemanusiaan yang ikhlas,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh dipercayai mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan kadar peratusan yang tinggi.
Lebih membimbangkan, pempengaruh tersebut didakwa tidak melakukan proses pengauditan atau menunjukkan bukti kutipan sebelum diserahkan kepada golongan sasar.
Mengulas lanjut, Jais berkata, aktiviti penyelewengan dana yang semakin berleluasa akan menghakis kepercayaan masyarakat untuk memberi sumbangan.
“Ini menyebabkan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan akan terkesan. Kami di MCW percaya bahawa integriti dan ketelusan adalah asas kepada operasi mana-mana NGO yang berwibawa,” katanya.
Dalam pada itu, Jais memaklumkan beberapa akta sedia ada boleh dijadikan rujukan oleh kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan akta khusus itu jika ia berjaya direalisasikan.
Antaranya, menurut beliau, adalah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA), Akta Tatacara Kewangan 1957 (Financial Procedure Act 1957) dan Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2001.
“Menggabungkan elemen dari akta-akta itu dapat membantu membentuk satu rang undang-undang (RUU) yang komprehensif dan efektif bagi mengawal selia sumbangan dana oleh NGO. Akta baharu ini boleh menumpukan kepada beberapa aspek penting seperti mewajibkan pendaftaran dan pelesenan serta harus memiliki pelaporan kewangan secara terperinci.
“Selain itu, keperluan menubuhkan mekanisme pemantauan dan audit yang kerap untuk memastikan dana digunakan dengan betul, selain memberikan garis panduan yang jelas mengenai tatacara pengurusan dana dan memastikan dana disalurkan kepada tujuan betul serta penetapan hukuman tegas bagi NGO melanggar peraturan,” katanya.






