
TAWAU – Pandangan isu sampah di Semporna dari perspektif calon Warisan Sri Tanjong, Justin Wong Yun Bin dan Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal menunjukkan parti oportunis itu tidak berpendirian tetap.
Calon Pakatan Harapan (PH), Philip Yap berkata, kenyataan bercanggah Warisan membuktikan mereka bukan penggerak kemajuan Sabah, sebaliknya merupakan punca kekecohan.
“Apabila isu sampah di Semporna terdedah, Shafie segera menuding jari kepada Kerajaan Persekutuan dan menegaskan bahawa Kerajaan Pusat dan Sabah ‘mesti bekerjasama’.
“Namun, kenyataan terbaru Justin pula menegaskan bahawa ‘pembangunan boleh dicapai walaupun Kerajaan Pusat dan Sabah tidak sehaluan’ selain malah mendakwa Sabah mampu menjadi ‘negeri contoh’ tanpa bergantung kepada kerajaan pusat,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Tegas Philip, naratif sebegini mendedahkan wajah sebenar Warisan yang sanggup memutar belit naratif pada bila-bila masa demi meraih undi.
Katanya, rakyat Sabah mahukan kestabilan dasar dan tadbir urus yang nyata, bukannya drama politik yang tidak berprinsip.
Justeru, rakyat negeri ini diseru menolak ahli politik oportunis dan memilih pasukan yang benar-benar berkhidmat serta bekerja keras untuk rakyat.
“Warisan bertindak menuding jari apabila perlu menutup kelemahan, tetapi mencetuskan perpecahan dan konfrontasi apabila mahu meraih undi.
“Mereka memanipulasi dan menghasut emosi rakyat, justeru tidak layak mendapat sokongan rakyat,” tegasnya.








