
SANDAKAN – Waris mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah bangunan di Blok 10, Lebuh 4 yang merangkumi tiga blok bangunan termasuk hotel tiga tingkat menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Negeri Sabah.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga mangsa yang terjejas akibat kejadian tersebut.
Walter berkata, bantuan berkenaan diserahkan kepada anak mangsa selepas pihaknya berjaya menjejaki keluarga terdekat mangsa.
“Pada hari ini kita telah berjaya menjejaki keluarga terdekat mangsa dan saya telah memanggil anak mangsa ke pejabat bagi menyerahkan bantuan wang ihsan yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Saya mewakili kerajaan negeri untuk menyampaikan bantuan ini kepada keluarga mangsa yang terlibat,” ujarnya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan BWI Kematian kepada waris mangsa tanah runtuh di Wisma Perbandaran MPS, di sini, pada Khamis.

Menurut Walter, kejadian tanah runtuh itu turut melibatkan sebatang pokok besar yang tumbang sebelum menghempap bangunan berkenaan sehingga menyebabkan satu korban jiwa.
“Kawasan kejadian kini ditutup sepenuhnya dan tiada sesiapa dibenarkan memasuki lokasi tersebut kerana keadaan masih berbahaya,” kongsinya.
Selain bantuan wang ihsan, keluarga mangsa turut menerima empat bakul makanan yang disumbangkan oleh APM dan JKM.
Sementara itu, mangsa-mangsa yang terjejas akibat kejadian berkenaan masih ditempatkan di Dewan Masyarakat Sandakan sehingga penilaian keselamatan selesai dijalankan.
“Kita akan maklumkan kemudian mengenai status kediaman mereka selepas laporan teknikal diterima,” jelasnya.
Penyerahan bantuan tersebut turut disertai ahli JPBD yang melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta MPS.



