SETAHUN sudah berlalu, namun tragedi helikopter bertembung dan terhempas di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Selasa, 23 April 2024 yang mengorbankan 10 anggota TLDM masih segar dalam ingatan.
Mengimbau kembali, nahas terbabit melibatkan sebuah helikopter AW139 dan Fennec yang bertembung kira-kira jam 9.32 pagi semasa raptai sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.
Helikopter AW139 terhempas berhampiran tangga stadium manakala Fennec jatuh di kolam renang Kompleks Sukan TLDM.
Sudah semestinya, tragedi tragik itu memberi luka emosi mendalam terutama ahli keluarga waima semua warga kerja TLDM sendiri.
Sebahagian masih mengingati kesediaan mengumpul cebisan tubuh badan rakan sepeejuangan mereka yang bertaburan di tempat kejadian.
Sehubungan itu, apabila menerima khabar sosok tubuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbesar hati menziarahi pangkalan ini, ia sememangnya dialu-alukan serta dinantikan.

“Kami sememangnya menanti kehadiran Perdana Menteri untuk turun ke sini.
“Ini juga merupakan pertama kali saya secara peribadi bersua muka dengan pimpinan nombor satu negara.
“Satu pengalaman berharga,” kata Muhamad Shafik Yusri, 21, ketika ditemui wartawan The Malaysia Press (TMP) dalam Program MADANI Rakyat, Menyantuni Warga TLDM Lumut, di Manjung, pada Ahad.
Manakala bagi Laskar Dalam Latihan (MPLD) Nur Aishah Abdul Hadi, 23, sejak dua tahun berada di Pangkalan ini, dia terharu dalam keterujaan.

Mengimbas kembali insiden helikopter bertembung dan terhempas sejak setahun lalu, dia ketika itu masih berada di Johor.
“Ada mangsa yang terlibat dikenali. Kehadiran PMX diharap dapat mengubati ‘kelukaan’ selama ini,” katanya.
Begitu juga dengan Laskar Dalam Latihan MPLD, Nur Sabrina Subri, 22, berterima kasih kerana PMX sudi menziarahi warga TLDM Lumut.

“Pemimpin nombor satu sudi turun menziarahi warga TLDM di sini juga sudah bermakna buat kami.
“Ini julung kali PMX menyantuni kami dan ia semestinya satu pengalaman berharga,” ujarnya gembira.






