MUKAH – Seorang lelaki warga emas ditemui lemas selepas terlibat dalam kemalangan di Sungai Batang Oya, Mukah, Sarawak.
Mangsa, dikenali sebagai Dos Katiek, berusia 79 tahun, dilaporkan jatuh ke dalam sungai selepas sebuah ‘speed bot’ berlanggar dengan sebuah perahu pada 2 September lalu.
Menurut laporan yang diterima dari IPD Dalat, kejadian berlaku pada 9:42 pagi, dan pihak Bomba serta penyelamat segera dikerahkan ke tempat kejadian.
“Jarak dari Waterfront Dalat ke lokasi kejadian adalah sejauh 39km, dan pasukan penyelamat tiba pada 10:30 pagi.
Pada 4 September lalu, sekitar 12:30 tengah malam, cucu mangsa berjaya menemui mayat mangsa yang terapung di Sungai Klid, Batang Oya, kira-kira 1 km dari lokasi kejadian.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis di Jeti Lebrasau pada 1:45 pagi dan dibawa ke Hospital Dalat untuk pengesahan kematian sebelum dipindahkan ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh PBK II KUP Domian Joll melibatkan dua anggota bomba dengan jentera Hilux dengan kerjasama daripada pihak polis.






