KENINGAU – Warga asing menggunakan media sosial khususnya aplikasi WhatsApp untuk menyebarkan maklumat semasa keberadaan anggota adalah satu cabaran operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Hal itu dinyatakan oleh Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof menerusi kenyataan media di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, warga asing lebih peka terhadap pergerakan pegawai seterusnya menggunakan WhatsApp untuk menyebarkan maklumat operasi itu.
“Maklumat ini memberi peluang kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk melarikan diri dan bersembunyi bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa.
“Selain itu, cabaran lain adalah keadaan semasa serta bentuk muka bumi kawasan operasi yang berbukit, berlumpur dan merangkumi kawasan yang sangat luas, juga menyukarkan aktiviti operasi.
“Walau bagaimanapun, daripada 159 orang yang diperiksa dalam operasi itu, seramai 104 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen seperti tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan media.
Jelas beliau, jumlah besar PATI yang ditahan adalah warganegara Indonesia iaitu 31 orang lelaki, 30 perempuan dan 26 kanak-kanak.
Manakala, PATI warganegara Filipina ada hanya dua orang lelaki, tujuh perempuan dan lapan kanak-kanak.

Katanya lagi, kesemua akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar, Sabah untuk siasatan dan tindakan susulan.
“JIM akan menjalankan operasi secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar undang-undang Malaysia,” ujarnya.
Justeru itu, beliau mengingatkan orang ramai dan majikan agar tidak melindungi PATI tetapi membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dengan menyalurkan maklumat berkaitan PATI.




