
MIRI – Seorang wanita berusia 58 tahun yang dilaporkan sesat di kawasan hutan berhampiran Everwin, Pujut 7, Jalan Dato Sri Joseph Balan, Lutong akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat pada Isnin malam.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.13 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong segera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 14 kilometer dan tiba di tempat kejadian pada 4.28 petang.
“Pencarian awal dilaksanakan dalam radius 500 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) namun gagal menemui mangsa. Pasukan Khas STORM Zon 6 kemudiannya dikerahkan ke lokasi bagi memperluas operasi,” menurut kenyataan tersebut.
Pasukan STORM yang diketuai PBK II Rorudi Umas, bersama enam anggota, memulakan pencarian sekitar jam 11 malam melalui laluan berhampiran Rumah Lot 3158, Lorong Seroja 8 Tudan.
Hasil pencarian membuahkan hasil apabila mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 11.20 malam, kira-kira 800 meter dari PKB.
Mangsa kemudiannya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dan diberikan rawatan awal oleh Unit EMRS sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Turut serta dalam operasi adalah anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan PDRM yang masing-masing menghantar empat anggota ke lokasi kejadian.