
TAIPING – Seorang wanita ditahan polis susulan satu video tular memaparkan tindakannya ‘naik minyak’ membakar motosikal gara-gara mahu ditarik di Jalan Masjid, Pokok Assam, di sini, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada jam 7.30 petang.
Ujarnya, penahanan tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 (khianat dengan api) Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda.
Katanya lagi, hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada wanita berkenaan yang tidak berpuas hati dengan penarik kenderaan selepas motosikal itu mahu ditarik disebabkan tunggakan bayaran ansuran selama 20 bulan.
“Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai penarik kenderaan pada jam 4.37 petang berhubung tindakan seorang wanita membakar sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam.
“Ekoran laporan itu, pihak polis berjaya menahan wanita berkenaan dan motif kejadian berpunca akibat tidak berpuas hati apabila motosikal mahu ditarik.
“Difahamkan motosikal yang dibeli atas nama anaknya itu tertunggak pembayarannya selama 20 bulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Mohamad Nasir, wanita berkenaan di bawa ke IPD Taiping untuk siasatan dan proses reman akan dibuat pada pagi ini (Jumaat).

Terdahulu, tular di media sosial dua rakaman video berdurasi sekitar seminit memaparkan seorang wanita bertindak menyimbah cecair disyaki petrol ke atas sebuah motosikal sebelum membakarnya.
Difahamkan kejadian berlaku setelah wanita itu enggan memberi kerjasama kepada penarik kenderaan yang ingin manarik motosikal terbabit kerana mengalami tunggakan.



