TAWAU – Seorang wanita mohon kerjasama orang ramai untuk mengesan kakaknya yang hilang selepas tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 30 Ogos lalu.
Haliza Iwan, 30, berkata, kehilangan kakaknya, Leha Iwan, 32, menimbulkan tanda tanya berikutan wanita itu menghubungi ibu mereka pada hari sama untuk pulang ke Kunak.
“Kakak sempat menghubungi ibu kami dan memaklumkan dia menaiki Grab ke terminal bas Inanam namun selepas itu dia tidak boleh dihubungi.
“Kakak sebelum ini ke Kuala Lumpur atas urusan keluarga dan sekarang memasuki hari ketiga kakak masih gagal dikesan namun media sosialnya dilihat aktif kelmarin (31 Ogos),” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut Haliza, keluarganya sudah membuat laporan polis atas kehilangan kakaknya dan sudah berhubung dengan pihak KKIA dalam usaha mengesan wanita terbabit.
“Ternampak kelibat kakak melalui kamera litar tertutup (CCTV) memasuki tandas di KKIA tetapi selepas itu tidak nampak dia keluar atau menaiki Grab,” katanya.
Justeru, dia berharap agar orang ramai yang menemui kakaknya dapat memaklumkan kepada pihak keluarga dengan menghubungi talian 014-6581993.




