KUANTAN – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Pahang yang selesai mengangkat sumpah jawatan hari ini bukan bermotifkan politik seperti didakwa pembangkang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lantikan itu berdasarkan keperluan untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kalau pembangkang cakap dari sudut politik… itu hak dan tafsiran mereka, tetapi ia adalah tidak benar sama sekali.
“Namun, kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab melihat ia dari sudut membantu rakyat,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Pahang kepada pelajar Yayasan Pahang di Dewan Block C, Wisma Sri Pahang, hari ini.
Terdahulu, istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan lima ADUN lantikan itu berlangsung di hadapan Speaker DUN, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Mereka adalah pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Pekan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah; Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Ketua PKR Pahang, Rizal Jamin.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy menjelaskan Pahang adalah negeri besar, luas dan disebabkan itu ADUN lantikan diperlukan bagi membantu rakyat.
“Mereka tidak ada kawasan… (tapi) boleh (berada) di seluruh Pahang serta salur maklumat terus kepada saya apabila diperlukan,” jelasnya.






