
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini kembali menjalankan tugas dengan mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Sri Pahang, dekat Kuantan.
Beliau berkongsi mengenai perkara itu melalui hantaran di laman sosial Facebook rasmi miliknya tengah hari tadi.
“Setelah sekian lama bercuti selepas menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7 Jun lalu, Alhamdulillah hari ini saya memulakan tugas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
“Saya juga telah menyerahkan surat penempatan dan pertukaran Ketua Jabatan di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Pahang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2024,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam hantaran sama, Wan Rosdy memaklumkan Pegawai Daerah Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands.
Tempat Zaman Azam diisi Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek yang sebelum ini Pegawai Daerah Rompin.
Turut bertukar jawatan adalah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Pahang, Kamarul Iskandar Nordin yang dilantik sebagai Pegawai Daerah Cameron Highlands.
Manakala Pengarah Jabatan Imigresen Pahang, Muhammad Hatta Kassim pula dipindahkan sebagai Pegawai Daerah Rompin.