
SANDAKAN – Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang baharu, Walter Kenson memulakan tugas rasmi berkuat kuasa hari ini dengan komitmen untuk memfokuskan usaha kepada tiga perkara utama dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pembangunan di daerah Sandakan.
Menurut Walter, fokus pertamanya adalah untuk meningkatkan efisien perkhidmatan MPS.
“Kami akan mengkaji dan memperbaiki proses-proses kerja yang ada terutamanya dalam bidang pembangunan lesen, pembaharuan lesen, kelulusan pelan pembangunan dan bangunan.
“Pentingnya memperbaiki perkhidmatan di kaunter-kaunter MPS untuk memberikan kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat dan peniaga,” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Suai Kenal bersama Presiden MPS Baharu di Wisma Perbandaran MPS di sini, pada Khamis.
Dalam usaha kedua, Walter memberi penekanan kepada aspek keindahan, kebersihan dan keteraturan bandar.
“Kami akan memberi perhatian khusus kepada landskap, kebersihan, pengurusan sampah dan persekitaran bandar bagi memastikan Sandakan menjadi lebih mesra kepada masyarakat dan pelancong.
“Hasrat ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan Sandakan sebagai Sandakan Nature City,” katanya.
Katanya, fokus ketiga adalah untuk memperbaiki koordinasi antara agensi-agensi kerajaan yang beroperasi di Sandakan.
“Dengan penyelarasan yang lebih baik, sistem penyampaian perkhidmatan dapat ditingkatkan memberi kesan positif kepada kehidupan penduduk.
“Kami ingin memastikan setiap agensi melaksanakan peranan mereka dengan efisien untuk manfaat rakyat Sandakan,” tambah beliau.
Selain itu, Walter juga menggariskan pentingnya untuk MPS berpegang pada prinsip Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam setiap langkah yang diambil.
Beliau berkata, semua strategi yang terkandung dalam SMJ akan diterjemahkan dalam perkhidmatan dan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“MPS berperanan sebagai fasilitator pembangunan yang turut memberi fokus kepada kemudahan dan kepercayaan pelabur untuk melabur dan berniaga di Sandakan.
“Ini secara langsung akan meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sandakan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya akan turut memberi perhatian kepada kempen anti-kutu sampah dan peningkatan kebersihan bandar sebagai langkah utama dalam memperbaiki persekitaran di Sandakan.
“Kami komited untuk menjadikan Sandakan sebuah bandar yang lebih bersih dan teratur, dengan mengekalkan tema Sandakan Nature City dalam setiap program pembangunan,” ujarnya.




