
LAHAD DATU – Polis Lahad Datu kini giat mengesan suspek yang bersenjatakan pisau dalam satu kejadian samun yang tular di media sosial berlaku di sebuah kedai runcit berhampiran Simpang Payang, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkaitan kejadian samun berkumpulan daripada seorang lelaki yang merupakan pemilik kedai runcit terbabit.
“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa (cashier) sedang mengira barang yang dibeli suspek namun secara tiba-tiba suspek mengeluarkan sebilah pisau dari pinggang dan meletakkan pisau di leher mangsa.
“Suspek kemudian membuka laci meja dan mengambil wang tunai kira-kira RM1,220 sebelum melarikan diri menggunakan motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam dan ‘coverset’ lampu hadapan berwarna merah,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Kes kemudian disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan bersenjatakan pisau.
Justeru, Dzulbaharin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Iskandar Kiprawi di talian 089-881225 atau ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Pada Sabtu, tular sebuah video berdurasi 28 saat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai terbabit merakamkan kejadian seorang lelaki berbaju hitam, lengan pendek putih dan berseluar pendek serta mengenakan helmet biru meletakkan pisau di leher seorang juruwang wanita sebelum mengambil sejumlah duit kemudiannya melarikan diri.







