KOTA KINABALU – Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah tampil ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah yang membabitkan diri mereka.
Masiung menerusi sebuah video berdurasi dua minit 27 saat yang dimuat naik di Facebooknya pada tengah hari berkata, kehadirannya ke pejabat SPRM sebagai komitmen kerjasama agar siasatan terperinci berkaitan rakaman video skandal rasuah itu dapat dilaksanakan.
“Saya juga masih bersedia sekiranya terdapat keperluan untuk memanggil saya semula bagi memberi penjelasan.
“Saya janji ketika saya dipanggil semula, saya tidak akan pura-pura sakit, tidak akan minta tangguh dan saya bertanggungjawab atas apa sahaja yang berlaku,” katanya selepas keluar dari pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Masiung turut meminta agar pengadu tampil ke SPRM untuk membekalkan video yang lengkap kerana percaya video yang ada telah disunting dan hanya berpihak kepada pengadu.
“Untuk rakyat saya di DUN Kuamut, tenang di posisi, kita tenang melangkah dan ‘tatap kalaga’ (tetap sampai),” ujarnya.
Sementara itu, Masidi juga telah secara sukarela tanpa dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu berhubung video tersebut yang turut dikaitkan dengan dirinya kira-kira pukul 8 malam, pada Selasa.







