
KOTA KINABALU – Video muzik lagu ‘Kita Jaga Sabah’ bukan sekadar karya seni, sebaliknya manifestasi suara hati, cinta dan komitmen rakyat Sabah untuk menjaga negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelancaran rasmi video muzik itu membuktikan bakat anak Sabah mampu menghasilkan karya luar biasa yang bukan sahaja menyatukan masyarakat tetapi membangkitkan semangat perpaduan.
“Apabila kita menyebut Kita Jaga Sabah, ia bukan sekadar slogan, sebaliknya seruan bersama bahawa tanpa mengira bangsa, agama atau kedudukan, kita semua mesti memikul tanggungjawab menjaga negeri ini dari segi keamanan, perpaduan dan pembangunan.
“Video muzik ini jelas menunjukkan belia Sabah bukan sahaja berbakat, tetapi juga jiwa besar mereka mahu negeri ini maju, melihat perubahan dan menyalurkan aspirasi serta harapan dalam bentuk positif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Tayangan Perdana Media dan Pelancaran Video Muzik Kita Jaga Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Hajiji memuji penganjuran program Tamu Suara 360 oleh Majlis Belia Sabah dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan yang memberi ruang kepada anak muda menyuarakan pandangan mengenai masa depan negeri.
“Anak muda kita bukan sahaja ambil tahu, malah mereka peduli tentang pendidikan, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan masa depan negeri. Inilah semangat kepedulian yang kita mahu pupuk dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Tegasnya, membina Sabah yang makmur dan berdaya saing bukan usaha mudah, sebaliknya memerlukan pengorbanan serta kerjasama semua pihak.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada inisiatif memperkasakan belia dalam bidang seni, budaya, sukan mahupun keusahawanan.
“Dengan semangat Kita Jaga Sabah, saya yakin kita mampu melahirkan sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga kaya budaya, harmoni dalam perpaduan dan inklusif untuk semua rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah, khususnya belia, agar terus berpegang pada semangat Kita Jaga Sabah sebagai landasan membina negeri.
“Kita semua adalah penjaga Sabah daripada pemimpin, belia, masyarakat kampung hinggalah penggiat seni. Jika kita bergerak bersama, insya-Allah, kita mampu membawa negeri ini ke mercu kejayaan lebih tinggi,” tambahnya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada penerbit lagu Kita Jaga Sabah, Farish Aziz kerana berjaya menghimpunkan bakat-bakat besar negeri termasuk Stacy, Elica Paujin, Feroq, Dabra Sia, Meba, Anip dan Nuvel, selain pencipta lagu, Anas Amdan.






