
SEMPENA sambutan Maal Hijrah 1446H tahun ini, Kerajaan Negeri Melaka akan mengadakan sambutan Program Perdana Maal Hijrah 1446H peringkat Negeri Melaka bertempat di Stadium Hang Jebat, Krubung Melaka.
Program yang dijangka akan berlangsung pada 6 Julai 2024 bermula 6 petang akan menampilkan pendakwah tersohor, Ustaz Abdul Somad yang akan memberikan ceramah pada malam tersebut.
Antara pengisian program Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 ialah bacaan surah Yasin, doa kesyukuran, bacaan doa akhir tahun 1445H dan awal tahun 1446H serta majlis penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah.
Selain itu, turut diadakan selingan alunan qasidah dari kumpulan Ahbabusham dan kumpulan Ar Rahman.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Jusoh di dalam paparan laman sosialnya menjemput rakyat Negeri Melaka terutamanya untuk hadir bersama-sama memeriahkan program yang akan berlangsung.
“Kerajaan Negeri Melaka mengalu-alukan seluruh rakyat Melaka untuk hadir di Studium Hang Jebat bagi kita sama-sama dapat menjalankan program Perdana Maal Hijrah peringkat Negeri Melaka yang kita akan bawa dari negeri seberang ustaz Al Fadil Abdul somad pada 6 julai 2024, hari sabtu bermula 6 petang bertempat di Stadium Hang Jebat, Krubung, Melaka,” katanya.
Selain itu, satu kenyataan media daripada Jabatan Ketua Menteri Melaka bertarikh 3 Julai 2024 menyatakan penganjuran program ‘Melaka Bila Larut Malam’ atau ‘Melaka Night Life’ yang biasa diadakan pada Aabtu minggu pertama setiap bulan ditangguhkan pada 13 Julai 2024 untuk memberi laluan kepada penganjuran Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Melaka.