
SANDAKAN – Usahawan wanita muda bukan sekadar memacu kejayaan perniagaan, malah turut mencipta impak sosial yang signifikan kepada komuniti setempat.
Pengerusi Institut Pembangunan Kajian Sabah (IDS), Datuk Azizah Mohd Dun berkata, usahawan wanita muda di Sandakan perlu merebut peluang dalam era digital dengan memanfaatkan platform e-dagang dan pemasaran melalui media sosial.
“Dengan adanya sokongan kerajaan dan persekitaran ekonomi yang kondusif, saya yakin lebih ramai wanita muda akan muncul sebagai usahawan berjaya dan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya semasa merasmikan Program Memperkasakan Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi di Dewan Sri Libaran, di sini pada Rabu.

Menurut Azizah, kejayaan ramai usahawan tempatan yang telah membawa produk Sandakan ke peringkat global, terutamanya dalam sektor pemprosesan makanan dan kraftangan.
“Usaha gigih dan ketekunan adalah kunci kejayaan, seperti yang telah dibuktikan oleh ramai usahawan yang bermula dari peringkat kecil sehingga mencapai kejayaan besar.
“Melalui Pinjaman Program Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG), saya yakin ramai usahawan wanita muda di Sandakan akan memanfaatkan peluang ini untuk memulakan, mengembangkan dan memajukan perniagaan mereka,” katanya.
Menurut data, pada tahun 2022, seramai 9,421 usahawan wanita Sabah telah menerima latihan daripada MARA. Manakala pada tahun 2024, 4,324 usahawan wanita berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) sementara 8,031 lagi direkodkan di bawah MIDE.
“Ribuan usahawan wanita yang direkodkan oleh pelbagai agensi di daerah Sandakan diharap dapat dibantu melalui skim pinjaman ini.
“Ia adalah langkah inovatif yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan wanita usahawan,” tambah Azizah.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas keprihatinan dan komitmen berterusan dalam memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan demi kesejahteraan rakyat Sabah.





