KOTA MARUDU – Para usahawan tempatan, khususnya ibu-ibu yang menjalankan perniagaan di tamu mingguan Kampung Tagaroh, kini menikmati suasana perniagaan yang lebih selesa selepas siapnya pembinaan premis Tamu Desa baharu di kampung tersebut.
Projek itu dilaksanakan melalui peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dan merupakan salah satu daripada 94 premis Tamu Desa yang telah dibina sepanjang tahun lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, meluangkan masa meninjau fasiliti tersebut sambil beramah mesra dengan para peniaga yang menjual pelbagai produk seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan dan minuman setiap hari Rabu.
“Saya juga anak kepada seorang ibu tunggal yang pernah berjualan sayur di gerai tepi jalan, menjual biji kopi dan kuih-muih di tamu mingguan. Ketika itu, gerai dibuat sendiri dengan kayu bulat dan lantai buluh, seadanya,” katanya.
“Pengalaman itu mendorong saya mencetuskan projek Tamu Desa ini di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, bagi menyediakan kemudahan lebih baik untuk usahawan kecil di luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak yang memiliki tradisi tamu mingguan,” katanya di sini pada Jumaat.

Dalam lawatan itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih sebanyak RM5,000 kepada jawatankuasa pentadbir Tamu Desa bagi tujuan pembelian kelengkapan tambahan seperti meja jualan dan kerusi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Tagaroh, Ridjoe Galanang, menyifatkan pembinaan premis itu memberi nafas baharu kepada lebih 25 peniaga aktif di kampung berkenaan.
“Sebelum ini kami hanya berniaga di bawah payung dan kanopi, tetapi kini kami ada bangunan tetap yang jauh lebih selesa untuk peniaga dan juga pengunjung. Kami berterima kasih kepada Kerajaan MADANI dan KUSKOP atas keprihatinan ini,” katanya.
Tambah beliau, tamu mingguan yang diadakan setiap hari Rabu itu menjual pelbagai produk termasuk hasil pertanian, produk tempatan, barangan terpakai dan lain-lain.
Seorang lagi peniaga tempatan, Rasli Kamarudin, turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas inisiatif berkenaan.
“Kemudahan seperti ini memberi semangat dan motivasi kepada kami untuk terus maju dalam perniagaan.
“Saya berharap projek Tamu Desa dapat diperluaskan ke kampung-kampung lain yang turut memerlukan,” katanya.






